KUALA LUMPUR, 22 Apr (Bernama) -- Agrobank bakal memperkasa rangkaiannya di seluruh negara dengan pelancaran FUNancial Day 2026 iaitu program pengaktifan cawangan berskala besar yang bertujuan memperkukuh libat urus pelanggan sambil memacu pertumbuhan perniagaan merentasi semua segmen.
Inisiatif selama dua hari ini yang berlangsung pada 28 dan 29 April akan dilaksanakan serentak di 143 cawangan Agrobank di seluruh negara, menjadikannya pusat pertemuan kewangan yang meriah dan bersemangat.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank berkenaan memaklumkan program itu menyediakan platform menyeluruh bagi membolehkan pelanggan meneroka pelbagai tawaran kewangan, disokong oleh aktiviti di lokasi, khidmat nasihat serta penglibatan interaktif.
“Program ini dirancang untuk memacu mobilisasi deposit (pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA)), menjana prospek pembiayaan, meningkatkan pendapatan berasaskan yuran serta memperkukuh kedudukan Agrobank sebagai institusi kewangan yang berteraskan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Antara tumpuan utama acara tersebut termasuklah inisiatif Mega Million 3.0 Raya yang menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi 10 gram emas, sebuah Proton X50 setiap bulan dan peluang untuk membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah Ford Ranger Raptor.
Selain itu, ‘Kempen Peluang Keemasan’ membolehkan peserta membeli emas pada harga serendah RM10 dan berpeluang memenangi hadiah utama iaitu sebuah Honda Vario 125.
Produk lain yang diketengahkan sepanjang pengaktifan tersebut termasuk Kempen NextGen untuk golongan belia yang menawarkan figura edisi terhad yang eksklusif serta pembiayaan peribadi AGROCash-i dengan kadar rata serendah 2.62 peratus.
Bank berkenaan menyatakan bahawa program ini terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada termasuk individu, perusahaan kecil dan sederhana, perniagaan mikro serta komuniti setempat.
"FUNancial Day 2026 mewakili usaha strategik untuk menggabungkan penglibatan pelanggan, penyelesaian kewangan dan pertumbuhan perniagaan dalam satu platform yang memberi impak," menurut kenyataan tersebut.
Pelanggan yang berminat dengan program ini digalakkan untuk mengunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan sepanjang tempoh kempen untuk mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA