JENAYAH & MAHKAMAH

Permohonan Semakan Kes Isa Samad Didengar 13 Mei

22/04/2026 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya atas pertuduhan rasuah akan didengar pada 13 Mei ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan peguam Mohd Isa, Datuk Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan tarikh pendengaran semakan berkenaan yang akan didengar Mahkamah Persekutuan ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh selepas memfailkan permohonan itu pada 4 Mac lepas di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun terhadapnya atas pertuduhan rasuah, selain mengenakan denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2024 yang membebaskan Mohd Isa daripada sembilan pertuduhan rasuah.

Panel itu turut mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta melalui bekas pegawai khasnya Muhammad Zahid Md Arip daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Bayaran itu didakwa sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Nordin berkata Mahkamah Tinggi bertindak tepat apabila mendapati Mohd Isa menerima suapan, sekali gus menimbulkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM).

Katanya Seksyen 50(1) menetapkan bahawa sebarang suapan yang diterima, diberikan atau diminta dianggap sebagai rasuah, kecuali dibuktikan sebaliknya.

Beliau berkata walaupun penyampaian ‘salam’ melalui orang tengah adalah amalan kebiasaan dalam kalangan umat Islam, namun dalam konteks kes ini, ia membawa konotasi berbeza.

“Komunikasi responden kepada Muhammad Zahid bersama ‘salam’ itu menyokong bukti bahawa wujud permintaan atau tuntutan bagi wang suapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548054