GAYA HIDUP

Melly Goeslaw Impi Cipta Lagu Bersama M.Nasir

22/04/2026 12:08 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Komposer dan penyanyi tersohor Indonesia Melly Goeslaw menyatakan impian untuk bekerjasama dengan legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir menghasilkan sebuah karya istimewa pada masa akan datang. 

Katanya M. Nasir bukan sekadar pemuzik, tetapi seorang pengkarya yang memiliki identiti muzik yang kuat dengan karya sarat nilai seni serta kreativiti.

“Selepas P. Ramlee, saya sangat mengidolakan Datuk M. Nasir. Kalau Datuk terbuka hati untuk mengajak saya berkolaborasi dalam membuat lagu, saya sangat terbuka.

pic-2

"Kalau lagu itu dicipta, saya tidak sabar ingin melihat bagaimana jadinya sebuah lagu yang dihasilkan dari dua pemikiran (Melly dan M.Nasir) yang berbeza," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau juga melihat kerjasama itu mampu memberikan dimensi baharu kepada industri muzik serantau, selain berpotensi memperkukuh hubungan seni antara Malaysia dan Indonesia yang sedia terjalin erat.

Melly dijadualkan muncul sebagai artis undangan dalam Konsert Cipta 4 oleh M.Nasir yang bakal berlangsung pada 4 Julai depan di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini.

pic-3

Selain M. Nasir, penyanyi lagu 'Gantung' itu turut tidak menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan bintang vokal popular negara Aina Abdul.

Sementara itu,  isteri kepada pemuzik Anto Hoed tersebut berpendapat strategi pemasaran semata-mata tidak mencukupi untuk mengetengahkan sesebuah lagu, sebaliknya turut bergantung pada kejujuran emosi serta proses penciptaannya.

pic-4

Malah, katanya, karya yang lahir secara spontan sering membawa elemen kejutan yang menjadikan hasilnya lebih menarik dan segar.

“Selain itu, ruang kreatif yang tidak terlalu terikat dengan formula industri membolehkan pengkarya lebih bebas bereksperimen dan meneroka idea baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547905