EKONOMI

YTL AI Labs Lancar ILMU Claw Bagi Bantu Pengguna Bina Ejen AI

21/04/2026 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- YTL AI Labs hari ini melancarkan ILMU Claw, yang membolehkan pengguna, pembangun dan perusahaan Malaysia membina ejen kecerdasan buatan (AI) autonomi, yang dihoskan sepenuhnya pada infrastruktur Malaysia melalui YTL AI Cloud yang selamat. 

Anak syarikat YTL Power International Bhd itu berkata ejen AI telah menjadi salah satu kisah yang menentukan teknologi pada 2026. 

“Momentum sekitar perisian agentik telah meningkat secara global, dengan OpenClaw muncul sebagai projek sumber terbuka terobosan yang telah mendapat daya tarikan daripada pembangun hinggalah pengguna harian.

“Dengan menghapuskan keperluan pengekodan atau tetapan yang kompleks, OpenClaw telah mengurangkan halangan teknikal untuk membina ejen AI dengan ketara, sekali gus menjadikannya mudah diakses oleh pengguna biasa melalui arahan bahasa semula jadi yang ringkas,” kata YTL AI Labs dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selaras dengan momentum itu, ILMU Claw direka untuk beroperasi secara lancar dengan OpenClaw, membolehkan pengguna membina ejen AI autonomi menerusi arahan mudah tanpa perlu menguruskan aspek teknikal yang kompleks. 

“Pengguna biasa boleh membina ejen untuk merancang perjalanan, mengurus e-mel, dan menyusun jadual harian, manakala perniagaan boleh memanfaatkannya untuk mengendalikan sokongan pelanggan, memperkemaskan aliran kerja dan pengautomasian operasi,” tambahnya. 

Dikuasakan oleh ILMU-Nemo-Nano yang dibangunkan dengan kerjasama NVIDIA, ILMU Claw direka khusus bagi memudahkan proses penghasilan ejen lebih mudah diakses, di samping masih menyokong keperluan perusahaan. 

Menurut YTL AI Labs, bagi penggunaan perusahaan, tindanan rujukan NVIDIA menyediakan tahap keselamatan, privasi dan kawalan dasar yang lebih baik bagi memastikan aliran kerja berasaskan ejen yang lebih terkawal. 

“Sehingga kini, banyak pasukan yang mencari keupayaan agentik yang canggih terpaksa menghalakan aliran kerja dan data sensitif melalui infrastruktur luar negara.

“ILMU Claw mengubahnya dengan memberi pembangun dan perusahaan di Malaysia akses kepada alat agentik bertaraf dunia yang dihoskan pada infrastruktur tempatan," katanya.

Sementara itu, ILMU Claw menyertai keluarga produk ILMU oleh YTL AI Labs, termasuk ILMUchat, iaitu AI perbualan yang kini berada dalam versi beta awam di Apple App Store dan Google Play.

Menurut YTL AI Labs, ILMU Claw kini boleh didapati untuk peminat teknologi, pembangun, syarikat pemula dan perusahaan. 

Dengan 800 tempat yang ditawarkan pada pelancaran ILMU Claw, penyertaannya adalah terhad. Mereka yang berminat boleh mendaftar sekarang di console.ilmu.ai.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs Foong Chee Mun berkata syarikat itu teruja untuk menyediakan apa yang diperlukan oleh pembangun di Malaysia, iaitu keupayaan AI bertaraf dunia yang dibangunkan sendiri di negara ini. 

“ILMU Claw merupakan batu loncatan bagi rakyat Malaysia untuk memanfaatkan keupayaan ini dan membina sesuatu yang luar biasa, lebih pantas berbanding sebelum ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547720