JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor meluluskan 56 projek pembangunan dan naik taraf kemudahan di daerah Tangkak tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan mencecah RM7.3 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata projek itu melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal dan agensi negeri.
Beliau berkata Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Tangkak yang dipengerusikannya hari ini turut meluluskan 25 projek keutamaan dengan anggaran kos RM2.5 juta melalui peruntukan Menteri Besar Johor, Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Johor dan MTD Tangkak.
“Kelulusan ini memberi tumpuan kepada keperluan kritikal seperti baik pulih infrastruktur, kemudahan awam, rumah ibadat serta keselamatan jalan raya dengan keutamaan jelas terhadap isu bencana, keselamatan dan pembangunan sosial supaya impaknya dapat dirasai terus rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan sebagai wakil rasmi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam perkembangan sama, Mohd Jafni berkata sebanyak 403 isu telah direkodkan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Serom, Gambir dan Bukit Kepong dengan 67 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala 26 lagi dalam pelaksanaan dengan nilai peruntukan sekitar RM3.37 juta.
Beliau berkata sebanyak 84 isu pula masih dalam siasatan, manakala 163 permohonan baharu sedang diteliti dengan anggaran kos melebihi RM18.1 juta, mencerminkan keperluan rakyat yang terus meningkat.
Katanya terdapat 63 isu dikategorikan sukar dilaksanakan melibatkan kos sekitar RM3.5 juta yang memerlukan pendekatan lebih strategik termasuk kajian teknikal serta penyelarasan dasar di peringkat lebih tinggi dengan kos yang terlibat bagi semua isu berkenaan dianggar RM29.3 juta.
“Selaras dengan pencapaian Johor yang terus kukuh dengan pelaburan mencecah RM110 bilion, kerajaan negeri komited memastikan hasil pembangunan ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui penyelesaian isu setempat dan peningkatan kualiti hidup,” katanya.
-- BERNAMA