MADRID, 21 April (Bernama-dpa) – Bekas pemain tengah Jerman, Toni Kroos berkata bintang sukan perlu bersatu tenaga untuk melakukan apa yang termampu dalam mendepani zaman yang "kucar-kacir" selepas beliau menerima Anugerah Inspirasi Sukan pada majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Anugerah khas itu mengiktiraf pencapaian yang melangkaui kejayaan dalam bidang sukan. Kroos, 36, menubuhkan Yayasan Toni Kroos pada 2015 yang bertujuan menyokong kanak-kanak yang menghidap sakit kronik serta pusat hospis yang menjaga mereka di seluruh Jerman.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu menerima anugerah berkenaan, yang jarang sekali diberikan dalam acara tahunan berprestij itu, di Palacio de Cibeles, Madrid pada Isnin.
Bekas pemain Real Madrid dan Bayern Munich itu merupakan penerima keempat bagi anugerah berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada 2017.
"Saya rasa amat penting untuk menonjolkan nilai-nilai ini kerana... saya fikir kita semua dapat melihat keadaan dunia yang semakin kucar-kacir," katanya di hadapan hadirin yang terdiri daripada bintang sukan terkemuka, merujuk kepada pelbagai konflik peperangan dan isu global.
Jika kita bersatu demi nilai yang betul, demi perkara yang betul, demi keamanan dan hormat-menghormati, saya percaya kita boleh mencapai banyak perkara. Kita mungkin tidak dapat mengawal perkara lain, tetapi kita boleh mengawal diri kita sendiri," katanya.
Selain yayasan berkenaan, sebuah akademi bola sepak yang dinamakan sempena nama beliau turut dibuka di Madrid pada 2024. Menurut Laureus, akademi itu menawarkan program latihan yang berpaksikan nilai hormat-menghormati, tanggungjawab dan pembangunan peribadi.
-- BERNAMA-dpa