MOSCOW, 21 April (Bernama-Anadolu) -- Rusia akan menyediakan 85 peratus daripada dana bagi pembinaan loji kuasa nuklear pertama Kazakhstan dalam bentuk pinjaman, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan ketua Agensi Tenaga Atom Kazakhstan, Almasadam Satkaliyev pada Selasa.
Baki 15 peratus lagi akan ditanggung oleh kerajaan Kazakhstan, kata Satkaliyev kepada pemberita pada sidang media di Astana, ibu negara negara itu.
“Loji kami tidak akan menghadapi masalah pembiayaan. Satu formula telah ditetapkan yang mana Persekutuan Rusia akan menyediakan pinjaman antara kerajaan kepada kerajaan Kazakhstan,” katanya.
Menurut beliau, perjanjian antara kerajaan yang berkaitan sedang dimuktamadkan.
“Ini akan menjadi pinjaman antara kerajaan. Ketika ini, dua perjanjian antara kerajaan sedang dibangunkan, iaitu yang pertama berhubung pembinaan loji kuasa nuklear dan yang kedua mengenai penyediaan pembiayaan dari pihak Rusia.
“Pembiayaan dari Persekutuan Rusia sedang dipertimbangkan, dengan 85 peratus dalam bentuk pinjaman dan 15 peratus daripada kerajaan Kazakhstan,” kata beliau.
Satkaliyev berkata anggaran awal kos pembinaan loji kuasa nuklear dengan penyertaan Rosatom adalah kira-kira US$15 bilion bagi dua unit janakuasa, masing-masing berkapasiti 1,200 megawatt (MW).
Kazakhstan merancang membina dua loji kuasa nuklear.
Loji pertama akan dibina oleh syarikat nuklear Rusia, Rosatom, manakala bagi pembinaan loji kedua, Astana sedang mempertimbangkan China National Petroleum Corporation sebagai rakan kongsi utama.
Pembinaan loji pertama yang dinamakan Balkhash dijangka mengambil masa kira-kira 11 tahun dan boleh disiapkan pada 2035 atau 2036.
Kerja penyelidikan berhampiran kampung Ulken di Tasik Balkhash bermula pada 8 Ogos 2025.
Loji kedua, “Moyinkum” juga akan dibina di Tasik Balkhash.
-- BERNAMA-ANADOLU