AM

Kebakaran Di Sandakan: KPKT Sedia Bekerjasama Dengan Kerajaan Negeri Salur Bantuan

21/04/2026 03:29 PM

BANTING, 21 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam merangka langkah susulan bagi menangani kesan kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor boleh mengaturkan mesyuarat bersama kerajaan Persekutuan sekiranya diperlukan bagi menyelaraskan langkah serta menentukan bentuk bantuan yang sesuai.

Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan urusan berkaitan penempatan berada di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Persekutuan kekal terbuka untuk memberikan kerjasama, namun akan menunggu hala tuju daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

"Sekiranya memerlukan bantuan di mana-mana, kita sangat terbuka untuk bekerjasama. Buat masa ini kita akan menunggu hala tuju daripada kerajaan negeri terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Tahun 2025 dan perasmian Kelas Digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, di sini hari ini.

Aiman Athirah berkata lebih 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah digerakkan ke lokasi kejadian pada waktu tengah malam, dari balai bomba di Sandakan dan Kinabatangan bagi menangani kebakaran tersebut.

Beliau berkata operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan keadaan penempatan yang padat, laluan sempit serta faktor air surut yang menyukarkan usaha mendapatkan sumber air ketika kebakaran berlaku.

Justeru, beliau menyeru persatuan penduduk di kawasan perumahan seumpama itu supaya bekerjasama rapat dengan pihak bomba untuk mewujudkan bomba komuniti dan Persatuan Bomba Sukarela sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan serta kesedaran keselamatan dalam kalangan penduduk.

Kebakaran di perkampungan atas air dilaporkan berlaku awal pagi 19 April lepas, dan dilaporkan telah memusnahkan 1,000 rumah serta menjejaskan 9,007 penduduk.

Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547506