AM

MyRepositori Perkasa Khazanah Digital Negara, Rekod 55,000 Koleksi Bersejarah

19/04/2026 04:58 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- MyRepositori terus diperkasakan sebagai platform khazanah digital negara dalam usaha memelihara, mendigital dan memperluas akses kepada warisan intelektual, sejarah serta budaya Malaysia untuk seluruh rakyat.  

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memaklumkan, MyRepositori merupakan inisiatif strategik bagi memastikan koleksi bernilai tinggi negara dapat diakses tanpa sempadan oleh pelbagai lapisan masyarakat.  

“Sehingga kini, platform itu telah merekodkan lebih 55,000 judul koleksi digital merangkumi Koleksi Negara, Koleksi Khas, Koleksi Manuskrip Melayu serta Koleksi Mikrofilem termasuk surat khabar,” menurut kenyataan KPN itu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata koleksi berkenaan merupakan aset negara yang amat berharga kerana mencerminkan identiti, sejarah dan ketamadunan Malaysia yang perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.  

Menurut kementerian itu, dalam era digital yang berkembang pesat, akses kepada maklumat sahih dan berkualiti menjadi asas penting dalam membina masyarakat berilmu, berdaya saing dan bersatu padu.  

Sehubungan itu, MyRepositori dilihat sebagai pemangkin transformasi berkenaan dengan menyediakan platform rujukan yang komprehensif dan dipercayai kepada orang ramai.  

Orang ramai boleh meneroka khazanah digital tersebut melalui laman sesawang rasmi MyRepositori, manakala KPN kekal komited untuk memperkasakan usaha pendigitalan bagi memastikan warisan ilmu negara terus relevan dan lestari.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546676