KUALA TERENGGANU, 19 April (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki kerugian RM25,280 selepas diperdaya sindiket penipuan jual beli mangga harum manis secara dalam talian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang berusia 53 tahun melihat iklan jualan mangga itu di Facebook dan menghubungi suspek.
“Mangsa mendakwa diberikan satu pautan mengandungi kod respons pantas (QR) untuk tujuan pembayaran dan setelah mengimbas kod itu, telefon pintarnya tidak berfungsi kira-kira 20 minit.
“Mangsa yang mengesyaki ditipu telah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat tiga transaksi pengeluaran wang berjumlah RM25,280,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, mangsa membuat laporan polis pada 7.41 malam tadi.
Azli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA