GAYA HIDUP

Inisiatif Projek BacaBaca Lonjak Tahap Literasi Murid

19/04/2026 05:30 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pernah diejek tidak pandai membaca, Sophia Irine Bong Yong Hui kini berbangga kerana berjaya mengatasi kelemahan itu melalui Projek BacaBaca.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sunway berkata menyedari perubahan itu selepas menyertai projek yang merupakan sebahagian daripada Education for All Impact Lab di Taylor’s University pada tahun lepas.

“Dulu memang susah untuk membaca dan faham perkataan sehingga ada kawan yang mengejek.

“Bagaimanapun, sesi bimbingan sukarelawan atau coach reader dalam kumpulan kecil memudahkan saya memberi tumpuan, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk membaca,” katanya ketika ditemui pada majlis “Projek BacaBaca: Celebrates the Transformative Reading Journeys of 100 Children” di Subang Jaya, Selangor semalam.

pic-2

Sophia, 12, antara 100 murid kohort Projek BacaBaca 2025 yang diraikan pada majlis itu, daripada lima sekolah iaitu SK Bandar Sunway, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Effingham, SJKT Vivekananda, SJKT Ladang Sungai Choh dan SJKT Ladang Batu Ampat, semuanya di Selangor.

Sementara itu, murid SJKT Ladang Effingham, Kesavan Sai, 12, berkata kebolehan membaca membuka peluang kepadanya berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih yakin. 

Dia yang bercita-cita menjadi anggota bomba berkata lebih memilih berkomunikasi dalam bahasa Tamil sebelum ini, juga mengakui berasa malu kerana ketinggalan berbanding rakan yang sudah lancar membaca.

“Sekarang saya rasa gembira sebab sudah boleh membaca dan lebih banyak bercakap dengan orang lain. Kalau mereka bertanya, saya boleh jawab dalam bahasa Melayu,” katanya.

pic-3

Ketua Projek BacaBaca Hema Letchamanan berkata projek yang bermula pada 2021 itu telah memberi manfaat kepada lebih 700 murid dengan peningkatan kadar literasi 100 peratus merentasi lebih 20 sekolah melibatkan pelbagai komuniti termasuk bandar berpendapatan rendah, luar bandar dan Orang Asli.

Beliau yang juga pensyarah kanan di Taylor’s University berkata antara cabaran utama ialah kekurangan sokongan individu dalam sistem pendidikan sedia ada berikutan saiz kelas yang besar dan perbezaan tahap penguasaan murid.

Inisiatif itu, menurut beliau bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mampu membaca mengikut tahap usia mereka bagi mengelakkan jurang pembelajaran berterusan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

Hema berkata pendekatan bimbingan mingguan oleh lebih 500 sukarelawan sejak lima tahun lepas, berjaya meningkatkan keyakinan pelajar yang pada awalnya bersikap pasif, dan wajar diperluas ke seluruh negara memandangkan isu literasi merentasi pelbagai komuniti.

pic-4

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Rusmini Ku Ahmad berkata inisiatif itu menangani cabaran kritikal murid tidak dapat membaca pada tahap yang diharapkan mengikut usia mereka. 

“Ini bukan isu akses tetapi isu kekurangan pembelajaran. Projek BacaBaca membantu dengan menawarkan sokongan bersasar dan berstruktur kepada murid yang memerlukan lebih masa serta perhatian untuk membangunkan kemahiran penting ini,” katanya. 

Beliau berkata Kementerian Pendidikan mengalu-alukan inisiatif seperti Projek BacaBaca yang bertujuan memastikan setiap kanak-kanak membina asas kukuh dalam membaca sebagai langkah utama ke arah pembelajaran sepanjang hayat. 

pic-5

“Sejak dilaksanakan, Projek BacaBaca menunjukkan peningkatan 100 peratus dalam kadar literasi. Di kawasan luar bandar, murid Orang Asli dan kanak-kanak yang mengalami cabaran kesihatan juga telah mendapat manfaat program ini. 

“Selain meningkatkan kemahiran membaca, murid juga lebih yakin dan semakin berminat untuk belajar. Membaca ialah kunci utama ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546576