AM

Sunway Lagoon Mart Dibuka, Perluas Penawaran Runcit Dengan Barangan Eksklusif SCKL

18/04/2026 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Sunway Lagoon mengumumkan pembukaan rasmi Sunway Lagoon Mart di pusat beli-belah Sunway Pyramid, menandakan pengembangan cabang peruncitannya dengan ruang khas yang menghimpunkan pelbagai barangan dari Sunway City Kuala Lumpur (SCKL).

Sunway Lagoon dalam kenyataan hari ini memaklumkan premis baharu itu direka sebagai ruang runcit mesra keluarga, selain memberi peluang kepada pengunjung meneruskan pengalaman di luar taman tema melalui pelbagai cenderamata, koleksi eksklusif dan barangan berinspirasikan tempatan.

“Sunway Lagoon Mart dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam dan mengalu-alukan pengunjung taman tema, pembeli serta orang ramai untuk meneroka pelbagai produk yang ditawarkan.

“Ia menampilkan pelbagai barangan eksklusif SCKL termasuk maskot kegemaran ramai, koleksi edisi terhad, cenderamata dan kenangan berinspirasikan Malaysia untuk dibawa pulang oleh pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Antara maskot yang ditampilkan ialah Gogo dan Bebe dari Sunway Lagoon, Samson dan Sophia (Sunway University), Leo dan Leona (Sunway Pyramid), Squarrel (Sunway Square), Elfie (Sunway Medical Centre) serta Guink (Sunway Multicare Pharmacy).

“Watak-watak ini diterjemahkan melalui pelbagai jenis barangan, menawarkan pengunjung cara yang bermakna untuk berhubung dengan keseluruhan pengalaman SCKL yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.

Majlis perasmian telah disempurnakan Pengarah Urusan Kanan Kumpulan Sunway Datuk K.L. Tan, bersama barisan pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls Chan Hoi Choy dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks Calvin Ho.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan Sunway Lagoon Mart adalah satu pencapaian penting dalam memperkukuh integrasi antara Sunway Lagoon dan keseluruhan ekosistem SCKL serta meningkatkan cara pengunjung berinteraksi dengan jenama berkenaan di luar pengalaman taman tema.

Selain patung maskot, premis itu menawarkan produk seperti Sunway Tiny Toys, botol kolaborasi Montigo x Sunway Lagoon, kotak misteri Inside Scoop serta koleksi Gogo & Bebe Wonderland.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546410