Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026 dilihat sebagai satu kejutan positif, menurut ahli ekonomi.
Ini susulan kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini bahawa unjuran awal ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2026 berkembang sebanyak 5.3 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata angka terbaharu itu melebihi unjuran dalamannya iaitu sebanyak 4.8 peratus dan konsensus Bloomberg sebanyak 5.1 peratus.
“Langkah berhati-hati kami sebelum ini dengan unjuran dalaman berbanding konsensus Bloomberg adalah berasaskan dua risiko utama iaitu kesan hambatan daripada ketegangan perdagangan global khususnya ketidaktentuan berkaitan tarif serta kesan berperingkat, kedua daripada turun naik harga tenaga terhadap kos pengeluaran dan penggunaan.
"Data terbaharu mencadangkan bahawa faktor penghalang ini tidak memberi kesan yang begitu kuat terhadap ekonomi sebenar Malaysia, sekurang-kurangnya buat masa ini," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata konflik Asia Barat yang bermula pada 28 Feb, 2026 berkemungkinan hanya mempunyai tempoh kesan selama sebulan terhadap harga tenaga dan aktiviti ekonomi yang lebih luas.
Ini sekali gus membayangkan kesan sepenuhnya daripada kejutan berkaitan tenaga masih belum dicerminkan dalam data tersebut, katanya.
Beliau juga berkata bahawa komposisi pertumbuhan adalah lebih bermaklumat berbanding angka utama dengan penggunaan yang berterusan dan aktiviti industri yang stabil, selaras dengan sektor perkhidmatan serta pembuatan yang masing-masing kekal bertahan melebihi lima peratus.
Ini menunjukkan Malaysia kekal teguh dalam fasa pengembangan iaitu pertumbuhan sedang menyederhana daripada asas yang tinggi dan bukannya merosot sekali gus menunjukkan permintaan domestik terus menjadi tunjang kestabilan," kata Mohd Sedek.
Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata penyederhanaan pertumbuhan daripada 6.3 peratus pada suku keempat 2025 kepada 5.3 peratus pada suku pertama 2026 tidak seharusnya dilihat sebagai tanda kelemahan.
“Unjuran awal KDNK Malaysia sebanyak 5.3 peratus bagi tahun ke tahun pada suku pertama 2026 menunjukkan daya tahan yang berterusan dan bukannya penyederhanaan yang ketara.
“Ini menyusuli pengembangan kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 dan pertumbuhan mampan ini adalah berasaskan pasaran luas merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan yang membantu mengimbangi penguncupan dalam sektor perlombongan dan pengkuarian," katanya.
Barjoyai menyifatkan aliran tersebut sebagai pelarasan kitaran yang normal selepas suku sebelumnya yang kukuh, sambil menyatakan bahawa ekonomi terus berkembang berasaskan pasaran yang luas.
Apabila ditanya sama ada sebarang semakan penting dilaksanakan memandangkan ini adalah unjuran awal, beliau berkata adalah normal bagi unjuran awal disemak semula apabila angka awal pada pertengahan Mei dan angka akhir dikeluarkan.
“Data yang akan dikeluarkan kemudian ini akan merangkumi maklumat yang lebih lengkap, terutamanya daripada sektor tenaga dan perdagangan yang mungkin boleh mengubah sedikit angka pertumbuhan utama.
“Bagaimanapun, memandangkan data awal yang terperinci tersebut termasuk pemacu aktiviti sektoral dan penjajaran bank pusat, angka akhir itu tidak mungkin menyimpang jauh daripada 5.3 peratus," kata Barjoyai.
-- BERNAMA