JENAYAH & MAHKAMAH

Jenazah Pengarah KPDN Kelantan Selamat Dikebumikan Di Bachok

07/04/2026 12:27 PM

BACHOK, 7 April (Bernama) -- Jenazah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail yang meninggal dunia akibat kanser usus awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuin di sini, pada 9.30 pagi. 

Hampir 200 kenalan, sanak saudara dan petugas KPDN Kelantan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham termasuk lima anaknya, selepas jenazah disolatkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur, Jelawat.

Anak sulungnya, Nur Arisha Abi Azman, 29 berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang mula dikesan menghidap kanser usus pada Disember tahun lepas.

"Sebelum ayah ditidurkan lapan hari lepas, kami semua sempat berbual dengan ayah. Ayah seorang yang kuat dan menyatakan untuk terus berikhtiar seboleh mungkin mengubati penyakitnya.

"Namun, pagi tadi kami dikejutkan dengan berita pemergian ayah. Walaupun sangat sedih, kami reda. Kami juga bersyukur kerana sempat menjaga ayah dalam tempoh tiga bulan ini sejak didiagnosis penyakit kanser usus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Nur Arisha Abi berkata Allahyarham sebelum ini telah dua pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan sedang menunggu untuk pembedahan ketiga.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar menyifatkan pemergian Allahyarham yang mula bertugas pada 2023 satu kehilangan besar buat seluruh warga agensi itu.

"Arwah seorang yang sangat baik, lemah lembut dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Dalam tempoh sakit beliau tetap memikirkan tentang kerja dan nasihatkan kami supaya bekerja dengan baik. Amanah ini akan kami jalankan sebaik mungkin

"Saya bagi pihak KPDN Kelantan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Kami kehilangan seorang bos yang sangat baik," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2541876