PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

16/04/2026 06:56 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis, seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau apabila harga minyak kekal stabil, kata peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Khamis apabila harapan terhadap perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meningkatkan keyakinan pelabur manakala data ekonomi China yang optimis sebagai pengguna utama turut mendorong sentimen positif.

“Harga minyak naik sedikit berikutan wujud keraguan bahawa rundingan damai antara AS dan Iran akan mencapai persetujuan untuk menamatkan perang,” katanya.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 1.53 peratus kepada US$96.38 setong.

Bagaimanapun, katanya peniaga dijangka kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan berhubung konflik Timur Tengah dan impaknya terhadap perdagangan global.

Beliau berkata penurunan seterusnya diimbangi oleh data ekonomi China yang positif dan harapan baharu untuk penyelesaian kepada ketegangan geopolitik.

“Ekonomi China berkembang sebanyak lima peratus pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya, mengatasi jangkaan penganalisis dan penggubal dasar bersedia menghadapi impak daripada perang Timur Tengah.

“Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) melaporkan bahawa pengeluaran perindustrian China meningkat lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 5.7 peratus pada Mac berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot 2.5 sen kepada 811.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 0.5 sen kepada 769.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545760