AM

Malaysia Makin Kukuh Dalam Landskap Pendidikan Tinggi Global - Pakar Akademik Thailand

16/04/2026 06:59 PM

BANGI, 16 April (Bernama) -- Sektor pendidikan tinggi Malaysia mencatatkan kemajuan ketara dalam tempoh dua dekad lepas, terutamanya dari segi penarafan universiti, kapasiti penyelidikan serta reputasi antarabangsa, kata seorang pakar pendidikan tinggi dari Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Penggalakan dan Peningkatan Pendidikan Tinggi ke arah Kualiti dan Piawaian Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand Prof Dr Rattachat Mongkonavin berkata Malaysia telah mempamerkan prestasi baik dalam memperkukuh kedudukan akademiknya.

Beliau berkata Malaysia juga telah berjaya membina reputasi kukuh di peringkat global selain menarik penyelidik berkaliber serta melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur penyelidikan.

“Bagi Malaysia, pandangan saya, anda (Malaysia) telah melakukannya dengan amat baik. Jika diimbau 20 tahun lepas, kita bermula pada tahap sama dalam sistem penarafan yang mengukur kualiti pendidikan tinggi dan universiti.

“Kami telah menyaksikan kejayaan dalam sistem pendidikan Malaysia. Malaysia telah memperlihatkan prestasi yang sangat baik dari segi penyelidikan serta dalam menarik penyelidik berkaliber untuk bekerja di negara ini. Anda juga telah banyak melabur untuk pusat-pusat penyelidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada program bual bicara Akademi Pendidikan Tinggi (AKEPT) “Telaah” bertajuk Pengajian Tinggi: Pendemokrasian, Pengkomersialan dan Pengantarabangsaan di sini hari ini.

Program berkenaan dikendalikan Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kepimpinan dan Jangkauan Global (CRO) AKEPT Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan.

Ahli panel termasuk pengarang buku Pengajian Tinggi: Pendemokrasian, Pengkomersialan dan Pengantarabangsaan Prof Datuk Dr Qasim Ahmad serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya Prof Dr Hasniza Zaman Huri.

Sementara itu, Rattachat berkata fasa seterusnya bagi Malaysia ialah untuk menentukan sama ada negara ini berhasrat menjadi hab pendidikan global sendiri atau sebagai sebahagian daripada rangkaian serantau yang lebih luas.

Beliau berkata pendekatan serantau akan menawarkan lebih banyak fleksibiliti, peluang dan pendedahan kepada pelajar, sekali gus membantu mereka memahami dinamik global dengan lebih baik serta meningkatkan kebolehpasaran.

“Daripada bersaing secara individu, negara di rantau ini perlu berganding bahu dengan pelan yang jelas untuk memperkukuh rantau ini secara keseluruhan. Hal ini akan mewujudkan hab pendidikan yang lebih kukuh dan mampan," katanya.

Sementara itu, Hasniza berkata dari segi reputasi akademik dan majikan, Malaysia telah membina kedudukan yang kukuh namun penekanan perlu diberikan kepada peningkatan hasil penyelidikan serta memastikan kemampanan jangka panjang bagi mengekalkan daya saing di peringkat global.

“Apa yang kita perlu lakukan lebih lanjut adalah meneliti komponen penyelidikan dan hasilnya, terutamanya hasil penyelidikan dan bagaimana kita benar-benar mengubah penyelidikan kita menjadi produk atau hasil yang lebih jelas dan ketara.

“Perkara lain yang perlu kita beri perhatian ialah aspek kemampanan. Memulakan sesuatu itu mudah dan disenarai dalam penarafan mungkin boleh dicapai tetapi apa yang penting ialah mengekalkan dan memastikan kita terus mampan supaya kekal sebagai universiti bertaraf global sepanjang masa,” katanya.

Qasim pula berkata pendekmorasian dan pengkomersialan penting dalam pendidikan tinggi, khususnya dalam memperluas akses serta menterjemah penyelidikan akademik kepada hasil yang boleh dikomersialkan di pasaran.

“Telaah” yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan wadah mendukung aspirasi besar negara untuk membudayakan wacana berasaskan pembacaan dan mentransformasikan keghairahan terhadap ilmu menjadi amalan kebangsaan.

Disiarkan seminggu sekali melalui platform dalam talian, “Telaah” mempertemukan tokoh ilmuwan, penulis dan masyarakat umum dalam perbincangan terbuka yang mencetus pemahaman lebih jitu terhadap pelbagai isu kemasyarakatan serta ketamadunan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545747