AM

Amalan Ladang Hutan Lestari Diperkukuh Menerusi Hari Hidupan Liar

16/04/2026 01:11 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- MIECO Plantation Sdn Bhd terus memperkukuh komitmen terhadap pengurusan ladang hutan lestari melalui penganjuran Program Hari Hidupan Liar yang memberi penekanan kepada kepentingan pemuliharaan biodiversiti.

Menerusi satu kenyataan hari ini syarikat itu memaklumkan program itu bertemakan Plantation Sustainability, Thriving Biodiversity itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Gua Musang dan disertai pelbagai agensi termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Universiti Teknologi MARA serta Universiti Putra Malaysia.

“Sepanjang program, peserta didedahkan dengan amalan perladangan lestari yang dilaksanakan syarikat, termasuk pemeliharaan kawasan bernilai pemuliharaan tinggi seperti rizab riparian, laluan hidupan liar, kawasan berbatu serta cerun curam.

“Dua spesies tanaman utama dipilih iaitu Kelampayan dan Eucalyptus sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ladang hutan yang mampan,” menurut kenyataan itu.

Turut diadakan pameran replika hidupan liar yang menarik dan efektif sebagai medium pendidikan kepada peserta.

“Program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta, malah mengukuhkan kerjasama antara sektor industri, penyelidikan dan akademik dalam usaha projek pembangunan ladang hutan yang memelihara alam sekitar dan hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545539