JENAYAH & MAHKAMAH

PSP, Perhilitan Johor Tahan Lelaki Simpan 16 Burung Murai Batu

15/04/2026 01:22 PM

JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor, menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun dalam Op Bersepadu Khazanah di sebuah premis kediaman di Serene Park, di sini semalam.

Serbuan yang dijalankan hasil maklumat risikan pada kira-kira 7 malam mendapati, terdapat sebanyak 16 ekor burung murai batu yang merupakan spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya disimpan di premis berkenaan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang lesen sah bagi tujuan pemilikan, penyimpanan atau pemeliharaan hidupan liar tersebut.

“Turut dirampas ialah 16 unit sangkar burung pelbagai jenis, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM295,106,” menurut PSP menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Suspek telah dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu pihak Perhilitan Negeri Johor melengkapkan siasatan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam mempergiat operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras jenayah melibatkan hidupan liar serta memelihara khazanah negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545126