Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Pernah mengalami kerugian kira-kira RM60,000 pada peringkat awal akibat masalah pembungkusan yang menyebabkan produk rosak ketika penghantaran, seorang usahawan bakeri dan kek berjaya mengukuhkan kembali perniagaannya apabila jualan kini mencecah kira-kira RM300,000 sepanjang Ramadan lepas.
Nur Syafawani Adnan, 31, yang berasal dari Singapura dan membesar di Johor Bahru, sebelum ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menghasilkan biskut dan kuih raya dari rumah.
Pemilik akaun Instagram ‘Bidadarikek’ itu berkata keputusan meninggalkan kerjaya sepenuh masa demi menjaga anak sulungnya yang didiagnosis autisme menjadi titik perubahan dalam kehidupannya.
“Saya tak boleh kerja di luar sebab anak saya yang kini berusia 12 tahun perlukan saya, jadi saya fikir macam mana nak cari rezeki dari rumah. Dari situlah saya asah semula pengalaman membantu ibu dan kembali ke dapur dengan menjual kuih raya seperti tat,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
pic-2
Perniagaan itu kemudian berkembang kepada menjual brownies, kek hari jadi dan perkahwinan.
Pada peringkat awal, produk hanya dipromosikan melalui Facebook sebelum mendapat perhatian lebih meluas ketika pandemik COVID-19 selepas aktif di TikTok.
Namun, perniagaannya berdepan masalah apabila dia terpaksa menutup operasi bakeri di Singapura pada tahun lepas akibat tekanan serta kelemahan sistem pengurusan.
Antara cabaran utama dihadapi ialah pertukaran staf yang kerap sehingga menjejaskan kelancaran operasi, namun di sebalik pelbagai ujian wanita ini bangkit dengan membina perniagaan secara lebih tersusun di Malaysia bersama pasukan yang mempunyai kepakaran masing-masing.
pic-3
Pada September tahun lepas, operasi perniagaan kemudian berpindah ke Taman Perling di sini, sebelum melancarkan semula perniagaan pada November dengan sistem lebih kukuh.
Di sebalik cabaran itu, sokongan suaminya, Muhd Shahrul Rizal, menjadi kekuatan utama apabila mengambil alih urusan rumah tangga dan anak-anak.
“Suami saya sebelum ini bekerja di laut sebelum mengambil keputusan berhenti selepas mengalami masalah jantung … dan sekarang suami membantu saya dalam menguruskan perniagaan,” katanya.
Kini, perniagaannya dikenali menerusi jenama Frenchella yang menampilkan produk utama French Ella Tarts menggunakan bahan premium seperti mentega Perancis, coklat hazelnut dan garam laut.
Antara perisa ditawarkan termasuk biskut dan krim, red velvet, kunafa dan speculoos dengan satu tin edisi raya mengandungi 46 keping dijual pada harga RM150.
pic-4
Usahawan itu berkata kegagalan disebabkan sistem perniagaan yang lemah dan masalah pembungkusan menjadi pengajaran penting sebelum menambah baik sistem penghantaran dengan penggunaan tin dan perlindungan tambahan.
Kini perniagaannya beroperasi sepenuhnya secara dalam talian melalui TikTok Shop dengan perancangan untuk memperluas jualan melalui platform lain.
Permintaan terhadap produknya datang dari Singapura dan Malaysia, dengan sambutan memberangsangkan terutama sepanjang Ramadan.
Dia juga optimis untuk terus mengukuhkan jenama di Malaysia sebelum meneroka pasaran luar, dan menyifatkan bahawa kesabaran serta keupayaan mendengar maklum balas pelanggan sebagai kunci kejayaan.
-- BERNAMA