AM

Lebih 300 Penerima Skim Usahawan Bangkit Terima Bantuan Kembang Perniagaan

14/04/2026 09:23 PM

BUKIT GANTANG, 14 April (Bernama) -- Sebanyak 330 usahawan di Parlimen Bukit Gantang menerima manfaat menerusi Skim Usahawan Bangkit (SUB) yang bertujuan menyokong usahawan tempatan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan ekonomi di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata SUB yang dilaksanakan berjaya memberi nafas baharu kepada golongan usahawan kecil apabila membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata skim itu diwujudkan hasil pemerhatian terhadap kesukaran dihadapi penduduk setempat yang ingin berniaga tetapi berdepan kekangan modal dan kekurangan peralatan.

“Bantuan yang disalurkan adalah antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada keperluan penerima selain turut melibatkan lawatan ke lokasi perniagaan bagi memastikan bantuan yang diberikan bersesuaian,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan skim berkenaan di sini hari ini.

Seorang penerima Natasha Shahidan, 41, dari Kampung Menteri di sini berkata bantuan yang diterima amat bermakna dalam membantu mengembangkan kedai makan yang diusahakannya sejak enam tahun lepas.

Ibu kepada lima anak itu berkata permohonannya diluluskan dalam tempoh yang sangat singkat dan beliau menerima peralatan barangan dapur termasuk kerusi serta meja makan.

“Saya sangat bersyukur kerana sebelum ini hanya mempunyai dapur kecil, kini saya memiliki tiga dapur yang membolehkan perniagaan berkembang dengan lebih baik,” katanya.

Natasha berkata bantuan itu menjadi sumber utama untuk meneruskan kehidupan kerana beliau tidak mampu menyediakan peralatan berkaitan secara sendirian akibat kekurangan modal.

Seorang lagi penerima Lizawati Mat Razak, 43, dari Kuala Sepetang berkata bantuan peralatan seperti dapur, kerusi dan meja yang diterima memberi perubahan besar kepada perniagaan nasi campur dan makanan goreng yang diusahakannya sejak 26 tahun lepas.

Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau berdepan kekangan modal untuk melengkapkan keperluan perniagaan kerana pendapatannya yang tidak menentu.

“Saya dimaklumkan mengenai skim ini oleh rakan dan cuba memohon walaupun sebelum ini tidak pernah menerima sebarang bantuan.

“Dengan bantuan ini, kedai makan saya kini lebih lengkap dan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544949