KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Kinabalu menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di sekitar bandar raya ini, semalam.
Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata operasi itu dijalankan hasil risikan Unit Risikan Sabah sebelum sepasukan anggota penguat kuasa digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata pemeriksaan kira-kira 12.05 tengah hari itu mendapati dua kenderaan diparkir di pam minyak dan disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel secara terancang.
“Kedua-dua kenderaan itu dikesan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap kenderaan.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ialah mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan sistem hos dan pam elektrik yang telah diubah suai, dipercayai bagi tujuan pengumpulan dan pengedaran diesel bersubsidi secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahril Nizam berkata dua individu tempatan berusia lingkungan 30-an telah diarah mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan, buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel, namun gagal berbuat demikian.
Beliau berkata nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua kes berjumlah RM22,745 melibatkan kenderaan Isuzu Trooper, van Toyota Lite Ace, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan.
“KPDN menegaskan sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi merupakan satu kesalahan serius yang menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara serta tidak akan dikompromi.
“Semua pihak, khususnya pemilik stesen minyak, wajib mematuhi sepenuhnya undang-undang dan arahan kerajaan bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan secara adil, telus dan berkesan,” katanya.
Shahril Nizam berkata orang awam juga diminta memainkan peranan sebagai mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan maklumat sahih berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara pantas dan berkesan.
-- BERNAMA