KUCHING, 13 April (Bernama) -- Kerajaan mempergiat usaha membanteras ketirisan minyak melalui lima langkah utama yang dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antara usaha berkenaan ialah menetapkan agensi peneraju mengikut sektor, tindakan tegas terhadap penyalahgunaan kad fleet, menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 Sabah, Labuan dan Sarawak, serta memperluas penggunaan kad fleet Skim Kawalan Sistem Bersubsidi (SKDS).
“Keputusan utama dipersetujui mesyuarat tersebut ialah penetapan agensi peneraju bagi tiga sektor utama iaitu sektor darat akan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sektor sempadan oleh polis dan sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan secara bersepadu.
“Keduanya, tindakan tegas terhadap mana-mana pihak menyalahgunakan subsidi diesel, termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan kad fleet di bawah SKDS serta subsidi diesel nelayan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki
-- BERNAMA