EKONOMI

Malaysia Perlu Perkukuh Komitmen Terhadap Keselamatan Tenaga Dalam Mendepani Ketidaktentuan Global - Tengku Zafrul

14/04/2026 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Malaysia perlu memperkukuh komitmen terhadap keselamatan tenaga dalam mendepani ketidaktentuan global yang meningkat, dengan kerajaan giat mengadakan perbincangan dengan pelabur mengenai kepentingan memastikan bekalan tenaga stabil dan dipercayai, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bloomberg melalui program “Insight with Haslinda Amin” hari ini yang membincangkan mengenai perkembangan di Asia Barat, impaknya terhadap Malaysia dan langkah-langkah untuk menangani kenaikan kos bahan api.

Tengku Zafrul, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata keselamatan tenaga telah menjadi pertimbangan utama kepada pelabur, terutamanya dalam ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Apabila kita berbincang dengan pelabur, kita menekankan kepentingan keselamatan tenaga. Malaysia bertuah kerana mempunyai bekalan tenaga yang dipercayai dan pembangunan seperti grid tenaga ASEAN menjadi langkah positif dalam memperkukuh perkara ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata krisis itu juga telah memperkukuh keperluan untuk mempelbagaikan sumber tenaga apabila syarikat turut berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu bekalan sahaja.

“Situasi itu telah mengajar banyak syarikat mengenai kepentingan kepelbagaian — tidak terlalu bergantung pada hanya satu sumber tenaga,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa tenaga perlu mencapai keseimbangan antara kemampanan dan kemampuan.

“Kita perlu memastikan bahawa tenaga bukan sahaja mampan, malah mampu milik. Inilah cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan syarikat dan kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan insentif dan dasar yang sesuai untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas,” katanya.

Mengenai subsidi bahan api, Tengku Zafrul berkata Malaysia berdepan situasi semasa dengan asas ekonomi yang kukuh termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada tahun lepas, inflasi yang rendah dan guna tenaga yang stabil.

Bagaimanapun, katanya kos subsidi telah meningkat dengan ketara.

“Subsidi bahan api untuk RON95 telah meningkat daripada kira-kira RM700 juta sebulan sebelum ini kepada RM4 bilion dan terkini sehingga RM7 bilion, berdasarkan harga minyak semasa,” katanya.

Namun demikian, katanya Malaysia masih mempunyai ruang fiskal, dengan defisit fiskal yang berkurangan kepada kira-kira 3.7 peratus, hampir kepada paras sebelum pandemik.

“Persoalan utama ialah berapa lama krisis ini akan berterusan dan bila had untuk campur tangan akan dicapai.

“Lebih lama situasi itu berlanjutan, lebih besar tekanan terhadap kedudukan fiskal kita,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544763