SUKAN

Wei Chong Tekad Dapatkan Rentak Permainan Sebelum Piala Thomas

14/04/2026 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Apr (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong mengakui masih bergelut untuk menemui rentak sebenar permainan susulan proses pemulihan daripada kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini.

Wei Chong berkata bagaimanapun, beliau sedang cuba untuk mendapatkan semula prestasi terbaik menjelang saingan Piala Thomas 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.

“Saya rasa gembira kalau ada peluang untuk bermain di Piala Thomas nanti. Saya akan berikan yang terbaik jika diturunkan dan memang tidak ada tekanan sangat untuk bermain nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Piala Thomas hari ini.

Mengulas mengenai persembahan hambar di Kejohanan Badminton Asia minggu lepas, beliau berkata ia bukanlah berpunca daripada kecederaan yang dialami tetapi lebih kepada dirinya sendiri.

Beliau bertekad untuk menebus semula kekecewaan itu dengan memperkemaskan aspek permainan selain meningkatkan tahap kecergasan menjelang kejohanan Piala Thomas.

“Prestasi saya memang tidak 100 peratus sekarang tetapi ia bukan berpunca daripada kecederaan. Mungkin sebab prestasi sendiri kurang bagus.

“Pergerakan kami (di BAC) ada sedikit lambat dan tidak boleh untuk menyaingi rentak pemain lawan, lebih-lebih lagi mereka ada standard tersendiri selain berkelas dunia. Ini benda yang kami perlu atasi,” katanya.

Pada saingan Piala Thomas nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama dua wakil Eropah, England dan Finland serta juara edisi 2014, Jepun.

Malaysia akan membuka aksi Kumpulan B menentang England pada 25 April, diikuti Finland (27 April) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Jepun (29 April).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544698