AM

DBKL, JKM Salur Bantuan Kepada Mangsa Ribut Perumahan Seri Pinang

14/04/2026 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin hari ini menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut di Perumahan Awam Seri Pinang di sini.

Sumbangan itu disalurkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan.

Mangsa menerima sumbangan tunai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, selain bantuan RM1,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala sumbangan tambahan RM500 bagi setiap rumah daripada kawasan Parlimen yang akan disalurkan kemudian.  

Azman berkata bantuan tersebut diharap dapat memberi kelegaan kepada keluarga terlibat dalam menghadapi situasi pascabencana.

“Bantuan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab berterusan agensi, termasuk DBKL dan JKM dalam memastikan kebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai agensi akan terus memantau keadaan mangsa serta memastikan bantuan sewajarnya disalurkan secara berterusan.

Dalam kejadian ribut itu, tiga rumah dilaporkan terjejas apabila bumbung kediaman mereka tercabut akibat angin kencang.  

Sebelum ini, bantuan awal kecemasan berupa barangan makanan dan keperluan asas turut disampaikan kepada mangsa sejurus kejadian.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544593