AM

Rawatan Gading Gajah "Kelat" Ikut Prosedur Pengurusan Veterinar - Perhilitan

13/04/2026 05:58 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Proses rawatan gading terhadap gajah bernama “Kelat” adalah mengikut prosedur pengurusan veterinar yang dijalankan berdasarkan penilaian klinikal dan pengurusan konservasi oleh pakar dengan memberi keutamaan terhadap kebajikan haiwan itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan segala tindakan yang diambil turut selaras dengan amalan kebajikan haiwan serta piawaian veterinar yang diiktiraf. 

"Prosedur ini telah dilaksanakan secara terkawal dengan menggunakan pendekatan yang meminimumkan tekanan fisiologi kepada hidupan liar. 

"Pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan pemulihan yang optimum dan kesejahteraan jangka panjang gajah berkenaan sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu. 

Kelat antara tiga gajah termasuk “Dara” dan “Amoi” yang dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Zoo Tennoji di Osaka (ZTO), Jepun pada 11 Mac lepas.

Penghantaran itu adalah sebahagian daripada kerjasama dua hala antara Malaysia-Jepun yang dirancang rapi sejak 2022 serta di bawah Program Konservasi Gajah Malaysia yang bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Memperincikan prosedur rawatan, Perhilitan memberitahu kerosakan gading Kelat telah dikenal pasti pada sebelah kiri manakala pemotongan gading pada sebelah kanan dilakukan sebagai langkah pengimbangan bagi mengelak ketidakseimbangan struktur yang boleh memberi tekanan kepada bahagian kepala dan rahang. 

Menurut Perhilitan, ketidakseimbangan itu berpotensi menyebabkan ketidakselesaan, meningkatkan risiko kecederaan serta menjejaskan tingkah laku semula jadi seperti pergerakan, pemakanan dan interaksi sosial. 

"Justeru, langkah rawatan dan pencegahan ini dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup jangka panjang Kelat," menurut kenyataan itu.

Perhilitan memaklumkan jabatan itu sentiasa berkerjasama dengan ZTNS dan ZTO dalam memantau keadaan ketiga-tiga gajah itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544376