SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengetuai 10 syarikat pemula niaga Malaysia ke Taipei dan Kaohsiung, Taiwan, sebagai sebahagian daripada penyertaannya dalam Ekspo dan Sidang Kemuncak Bandar Pintar (SCSE) 2026.
Sidec dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif tersebut menekankan usaha berterusan mereka untuk meluaskan pendedahan antarabangsa kepada syarikat-syarikat pemula niaga tempatan di samping memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam ekosistem bandar pintar.
Delegasi itu menampilkan syarikat-syarikat inovatif termasuk Citysage Sdn Bhd, Dataverse Sdn Bhd, DespaQ, HiTerra AI, IOMINSIGHT Sdn Bhd, New Energy Centre Malaysia Sdn Bhd, PAIX Tech, Rymba, VEE Berhad dan Xtractify Sdn. Bhd.
Menerusi program tiga hari dari 17 hingga 20 Mac di Taipei, delegasi tersebut telah menyertai pameran, sesi pembentangan idea dan lawatan ke reruai yang disusun khas, yang menyediakan syarikat pemula niaga pandangan berharga mengenai trend global dan teknologi baru muncul, sekali gus membolehkan mereka memperhalusi visi melalui perspektif antarabangsa.
Selain daripada pameran itu, Sidec memaklumkan SCSE 2026 juga berfungsi sebagai platform pertukaran idea yang bermakna, di mana delegasi tersebut berhubung dengan wakil dari 53 buah negara untuk membina rangkaian dan meneroka potensi kerjasama.
“Persekitaran yang diwujudkan ini memperkukuh kepentingan penglibatan rentas sempadan dalam mempercepatkan inovasi dan meningkatkan skala penyelesaian melangkaui pasaran tempatan,” menurut Sidec.
Agensi itu turut menekankan sesi libat urus yang penting dengan pegawai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan Dr GJ Lee, yang disifatkan sebagai cerminan kepada keselarasan yang semakin meningkat antara ekosistem dan pembuka laluan untuk kerjasama masa hadapan.
“Ia menekankan realiti utama: inovasi tidak berkembang secara bersendirian, sebaliknya melalui perkongsian yang dibina atas cita-cita bersama dan pertumbuhan mampan,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan momentum berkenaan, delegasi meneruskan libat urus mereka di Kaohsiung dari 20 hingga 22 Mac, di mana perbincangan bersama Timbalan Datuk Bandar Kaohsiung Lin Chin-Rong, telah memperkukuh visi bersama untuk memajukan pembangunan bandar pintar.
Lawatan itu diakhiri oleh sesi libat urus dengan Persatuan Komputer Taipei (TCA), badan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terbesar di Taiwan, sekali gus menekankan kepentingan perkongsian industri yang kukuh dalam memacu inovasi mampan dan memperkukuh hubungan dua hala.
“Lawatan kami ke Tron Energy Technology Corporation juga memberikan gambaran yang menarik berhubung pencapaian terkini dalam mobiliti mampan.
“Daripada pembangunan pek bateri tersuai hinggalah kepada inovasi dalam kenderaan elektrik dan autonomi, pengalaman itu menekankan bagaimana pembuatan termaju memacu peralihan ke arah tenaga bersih dan sistem pengangkutan pintar,” menurut kenyataan itu.
Sidec dalam merumuskan pengalaman itu, menyifatkan misi tersebut bukan sekadar satu siri libat urus, tetapi sebagai “satu perjalanan perspektif” yang memperdalam pemahaman tentang peluang di peringkat global.
“Melalui inisiatif seperti ini, Sidec terus meletakkan syarikat pemula niaga Malaysia di pentas global, membuka jalan kepada pembangunan bandar yang lebih pintar, ekosistem yang lebih kukuh dan masa depan yang dibentuk melalui kerjasama dan inovasi,” tambah agensi itu.
-- BERNAMA