KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya insiden terkini yang melibatkan halangan dan ancaman keselamatan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada 12 April oleh rejim Zionis Israel.
Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, berkata Malaysia menegaskan bahawa semua pihak mesti menghormati sepenuhnya keselamatan, perlindungan dan kebebasan pergerakan pasukan pengaman PBB di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701 (2006) serta undang-undang antarabangsa yang berkaitan.
“Sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman atau menghalang keberkesanan operasi mereka adalah tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta.
“Malaysia juga mengecam penggunaan kekerasan serta tindakan yang merosakkan aset dan menyekat akses ke kawasan operasi UNIFIL,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Wisma Putra, perkembangan terbabit berisiko menjejaskan keupayaan UNIFIL untuk melaksanakan mandatnya secara berkesan, termasuk pemantauan di lapangan.
Sebagai negara penyumbang pasukan pengaman kepada UNIFIL, Malaysia menegaskan komitmen teguh terhadap misi itu serta peranan penting operasi pengaman dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman, termasuk anggota Batalion Malaysia (MALBATT) kekal sebagai keutamaan utama,” menurut Wisma Putra.
Malaysia menyeru semua pihak memberi kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam memastikan pelaksanaan mandatnya.
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan tegas, termasuk memastikan perlindungan segera terhadap pasukan pengaman PBB di Selatan Lubnan, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA