EKONOMI

TP-Link Malaysia, UiTM Meterai MoU Strategik Tangani Jurang Bakat

13/04/2026 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Penyedia peranti rangkaian dan produk rumah pintar global, TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link Malaysia) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan penuntut dengan kemahiran rangkaian relevan dengan industri, pengalaman perusahaan secara praktikal serta sijil diiktiraf global.

Dalam kenyataan bersama hari ini, dua pihak berkenaan memaklumkan kerjasama selama tiga tahun itu dirangka bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan industri sebenar.

Pada masa sama, ini membolehkan penuntut  UiTM menamatkan pengajian dengan kebolehan praktikal yang sejajar dengan keperluan perusahaan semasa.

 Kerjasama itu akan menyaksikan penggunaan Omada iaitu penyelesaian rangkaian perusahaan TP-Link di makmal-makmal UiTM, sekali gus memberi pendedahan langsung penuntut kepada infrastruktur sama digunakan dalam persekitaran perniagaan.

Ini diselaraskan dengan program-program latihan berstruktur, bengkel teknikal dan akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA). 

“Penuntut akan turut mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal dengan TP-Link yang mewujudkan laluan lebih jelas daripada universiti kepada pekerjaan dalam ekonomi digital yang pesat berkembang,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Serantau TP-Link Malaysia Hugo Chai berkata industri dan organisasi kini dalam usaha meningkatkan infrastruktur digital walaupun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian perusahaan masih belum memadai.

“Sehubungan itu, kerjasama ini menumpukan usaha merapatkan jurang berkenaan dengan melengkapkan penuntut dengan kemahiran praktikal yang disokong sijil dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama menyertainya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata adalah penting untuk memastikan siswazah dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri dalam kepesatan landskap digital hari ini.

“Kerjasama seperti ini membolehkan kita melakukan penyelarasan program agar lebih menepati kemajuan teknologi serta jangkaan industri,” katanya.

Kedua-dua pihak akan turut meninjau usaha bersama dalam penyelidikan, perundingan dan pertukaran pengetahuan dan memupuk kerjasama antara jurutera TP-Link dan anggota fakulti UiTM.

-- BERNAMA=

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544365