KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Usaha menyelaras dasar, memperkemas ekosistem serta memperkukuh penawaran Malaysia supaya lebih kompetitif di peringkat serantau dan global telah diberi tumpuan semasa perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, pendekatan lebih tersusun dan berfokus amat penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur serta mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi.
“Insya-Allah, usaha berterusan ini akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh kedudukan ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah mempengerusikan HLC MM2H untuk membincangkan pendekatan strategik dalam memperkukuh daya tarikan pelaburan negara pada Isnin.
-- BERNAMA=