SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kelulusan kouta tenaga kerja asing pada 2023.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Rohaizad Rafire Mohamad, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menggunakan dokumen Surat Tawaran (LOA) palsu bertarikh 1 Ogos 2022 yang dikemukakan kepada seorang Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di JIM Cawangan Kajang pada 2 Nov 2023 dan 24 Nov 2023.
Di mahkamah sama, seorang lagi pemilik syarikat, Ali Mohamad, 63, turut didenda RM10,000 kerana mengemukakan LOA palsu bertarikh 24 Okt 2022 kepada seorang Pegawai JIM Selangor bagi mendapatkan kelulusan kuota tenaga kerja asing.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di JIM Selangor, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 23 Feb 2024.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh, namun peguam Low Carmen memohon hukuman diringankan kerana kedua-dua tertuduh memberi kerjasama
Sementara itu di mahkamah berasingan, dua pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan urusan pekerja asing kepada pegawai JIM pada 2023.
Abdol Razak Nawab Din, 69, didakwa dengan dua pertuduhan kerana dengan curangnya mengemukakan dokumen palsu itu kepada pegawai JIM pada 11 Mei 2023 dan 2 Jun 2023 di JIM Selangor, Kompleks PKNS.
Noor Hidayani Jailani, 41, pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada 22 Mei 2023 di lokasi sama.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan Abdol Razak dan Noor Hidayani diikat jamin masing-masing RM7,000 dan RM5,000.
Terdahulu, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala, kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam yang sama, Datin Raj Preef Kaur.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mei ini.
-- BERNAMA