AM

Jambatan Sungai Pulai Tidak Mendap, 10 Lokasi Sepanjang Jajaran Akan Dibaiki - Ahmad Maslan

12/04/2026 09:13 PM

PONTIAN, 12 April (Bernama) -- Jambatan Sungai Pulai disahkan selamat digunakan meskipun berlaku mendapan tanah di 10 lokasi di sepanjang jajaran jambatan terbabit, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata perkara itu disahkan hasil tinjauan hari ini bersama Pegawai Daerah Pontian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor serta pemaju iaitu Seaport Worldwide, manakala kawasan mendapan akan dibaiki segera oleh pihak pemaju berkenaan.

Ahmad berkata laluan sepanjang kira-kira 7.5 kilometer termasuk jambatan sepanjang tiga kilometer itu masih di bawah tanggungan pemaju dan belum diserahkan kepada JKR, justeru pihak pemaju diarahkan menyegerakan kerja pembaikan dan menyiapkannya seawal tahun ini melalui kaedah fast track termasuk operasi 24 jam.

“Jambatan sebenarnya tidak mendap, yang mendap ialah jalan di beberapa lokasi. Oleh kerana laluan ini masih di bawah tanggungan pemaju dan belum diserahkan kepada JKR, saya telah meminta agar pembaikan disegerakan dan disiapkan tahun ini, bukan tahun hadapan.

“… demi kepentingan masyarakat serta keselamatan pengguna jalan raya, kerja pembaikan perlu dilaksanakan secara fast track termasuk operasi 24 jam tanpa penutupan penuh jalan, dengan hanya sebahagian laluan ditutup,” katanya selepas meninjau keadaan di jambatan berkenaan yang menghubungkan Gelang Patah di Johor Bahru dan Tanjung Bin di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata keadaan tanah gambut dikenal pasti sebagai punca mendapan dan kaedah pembaikan lebih sesuai akan digunakan, selain menegaskan laluan tidak akan ditutup sepenuhnya, sebaliknya dikawal melalui pelan pengurusan trafik bagi memastikan pengguna masih boleh melalui kawasan terbabit.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang menggunakan laluan berkenaan, namun kekal berhati-hati serta mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh pembaikan dijalankan.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan telah meminta JKR dan pihak pemaju melaksanakan kaedah pembaikan lebih kukuh bagi memastikan jambatan itu selamat dan stabil untuk jangka panjang.

Onn Hafiz berkata langkah itu diambil susulan audit teknikal JKR yang mendapati berlaku mendapan serius melebihi 300 milimeter dalam tempoh kurang enam bulan selepas jambatan berkenaan dibuka pada 18 Jan 2023, dipercayai berpunca daripada ketidakstabilan struktur tanah serta penggunaan sistem ringan Expanded Polystyrene System (EPS) yang kurang sesuai dengan keadaan tapak projek.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544102