AM

Rumah Ibadat Bukan Islam, Badan Kebajikan Layak Dapat Kadar Cukai Tanah RM50

12/04/2026 07:22 PM

GEORGE TOWN, 12 April (Bernama) -- Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), tanah perkuburan, badan kebajikan serta organisasi tidak berasaskan keuntungan di Pulau Pinang layak dikenakan kadar cukai tanah nominal RM50 bagi setiap lot selepas pelarasan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu antara penambahbaikan yang dilaksanakan terhadap mekanisme cukai tanah, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya pemilik tanah yang terkesan susulan Semakan Kadar Cukai Tanah 2026.

“Kita telah membuat beberapa pengumuman sebelum ini berkenaan dengan rebat, kaedah pengiraan baharu serta pengkelasan semula tanah selepas mengambil kira hampir semua situasi. Hebahan ini perlu diteruskan bagi memastikan persatuan serta pemilik tanah memahami sepenuhnya inisiatif yang telah diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan dan sidang media mengenai pelarasan cukai tanah nominal kepada RIBI, tanah perkuburan, badan kebajikan serta organisasi tidak berasaskan keuntungan di Penang Harmony Centre di sini hari ini dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim.

Chow berkata mengambil contoh di Daerah Timur Laut dan Barat Daya, beberapa rumah ibadat, tanah perkuburan serta  premis persatuan yang sebelum ini dikenakan cukai sehingga ratusan ribu ringgit kini hanya perlu membayar kadar nominal RM50 selepas pelarasan.

“Umpamanya Lot 57 United Hokkien Cemetery di Daerah Timur Laut, sebelum ini dikenakan RM735,682 tetapi selepas pelarasan kadar nominal dikenakan hanya RM50. Begitu juga Lot 58, sebelum ini RM111,709 dan selepas keputusan terkini, ia layak dikenakan nominal RM50 sahaja,” katanya.

Chow berkata pemilik tanah yang telah membuat bayaran berdasarkan kadar selepas semakan sebelum ini boleh memohon kepada Pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing sama ada untuk mendapatkan pemulangan semula bayaran atau menjadikannya sebagai kredit bagi bayaran pada tahun-tahun berikutnya.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pertubuhan yang layak digalakkan supaya mengemukakan permohonan atau rayuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing bagi membolehkan semakan dan pengemaskinian dibuat dalam sistem.

“Secara dasar, kebanyakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan akan layak menerima kadar nominal ini, namun permohonan masih perlu dikemukakan untuk tujuan pengesahan,” katanya.

Ketika ini terdapat 1,204 RIBI, tanah perkuburan, badan kebajikan serta organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berdaftar dengan Penang Harmony Corporation (HARMONICO), dengan 58 permohonan diterima Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut dan sebahagian daripadanya layak mendapat bagi kadar nominal selepas semakan dibuat manakala selebihnya masih dalam proses penilaian.

Katanya kerajaan negeri turut membuka ruang kepada pertubuhan menghadapi kes rumit untuk mendapatkan bantuan, termasuk melalui badan berkaitan seperti HARMONICO bagi memastikan setiap kes dapat diselesaikan secara adil dan menyeluruh.

Terdahulu Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 1 April bersetuju menambah baik mekanisme penentuan kadar cukai tanah dalam usaha mengurangkan jumlah cukai pemilik tanah yang terkesan dengan kenaikan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544076