Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah
BARCELONA, 12 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia digesa mengetepikan perbezaan pandangan dan isu kecil yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap usaha menyelamatkan nyawa penduduk di Gaza menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad berkata walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan segelintir pihak di tanah air, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan penderitaan yang sedang berlaku di wilayah Palestin itu berterusan.
“Saya dengan kawan-kawan mungkin ada perbezaan pandangan, tetapi perbezaan tersebut apakah wajar dijadikan alasan tidak menyertai dan tidak melakukan perkara yang baik untuk Gaza?" katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Ahad.
Zainal Rashid yang juga peserta GSF 2.0 berkata sokongan moral daripada rakyat Malaysia melalui media sosial adalah kritikal dalam menyebarkan maklumat yang tepat bagi menangkis naratif pihak lawan.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas, sokongan rakyat biasanya akan meningkat secara drastik sebaik sahaja pelayaran bermula dan lebih banyak maklumat dari lapangan didedahkan kepada umum.
“Selepas sahaja pelayaran bermula, lebih banyak video dan maklumat kita dedahkan, fokus rakyat Malaysia akan mula terhadap Gaza. Saya yakin tahun ini apabila lebih banyak penjelasan diberi, penerangan diberi, lebih ramai rakan-rakan pengguna media sosial akan mula faham dan kemudian berkongsi,” katanya.
Zainal Rashid yang juga seorang daripada peserta GSF pada tahun lepas berkata sokongan moral penting bagi menguatkan semangat peserta yang bakal menghadapi pelbagai risiko di lautan, termasuk kemungkinan provokasi daripada rejim Zionis.
GSF dijadualkan berlepas dari sini hari ini membawa gabungan antarabangsa yang bertekad untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza serta memberi respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.
Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan tindakan maritim dengan gerakan mobilisasi global secara bersepadu di darat, selain menghubungkan usaha solidariti, advokasi undang-undang serta kempen akar umbi di pelbagai negara.
-- BERNAMA