AM

Polis Giat Kesan Lelaki OKU Hilang Di Taman Perling

12/04/2026 04:31 PM

JOHOR BAHRU, 12 April (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak semalam di Taman Perling, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohamad Ezwan Ibrahim, 34, yang mempunyai ketidakupayaan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Beliau berkata kali terakhir lelaki itu dilihat kira-kira 5.30 pagi semalam di Perling Mall, Taman Perling. Lelaki itu berketinggian 130 sentimeter, berat 60 kilogram, berkulit sawo matang, berambut pendek serta berbadan kurus.

“Pakaian terakhir lelaki itu ialah baju T berwarna biru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu itu tinggal di Blok G, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Rawa 1, Taman Perling di sini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Taman Perling, Sarjan Mejar Nuhairi Abd Hasir di talian 012-7016945 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5561222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544005