JENAYAH & MAHKAMAH

MINDEF Tidak Kompromi Insiden Kematian Anggota Tentera Darat

11/04/2026 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden kematian anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kes kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang. Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata ATM turut diarahkan memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bersama seluruh warga ATM turut menitipkan salam takziah dan ucapan dukacita mendalam kepada ahli keluarga dan waris Allahyarham.

“Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi ATM.

Ucapan takziah turut disampaikan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan seluruh warga TDM.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” menurut hantaran di laman Facebook rasmi TDM.

Allahyarham Muhammad Amirul Raziq, 24, sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong.

Insiden itu berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) berusia 37 tahun berpangkat koperal yang bertindak menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543740