BATU PAHAT, 10 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 24 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sapu, Ops Selera, Ops Minyak dan Ops Ajar yang dijalankan di sekitar daerah itu bermula pada 8 malam, Selasa lepas.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada lapan warga Bangladesh (tujuh lelaki, seorang wanita), dua lelaki Nepal, lapan warga Myanmar (tiga lelaki, lima wanita), tiga warga Indonesia (dua lelaki, seorang wanita), seorang wanita Vietnam dan dua wanita Kemboja, berusia antara 20 hingga 45 tahun.
“Kita telah melakukan pemeriksaan di 11 premis perniagaan termasuk rumah kedai yang dipercayai menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata sebanyak enam keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA