JENAYAH & MAHKAMAH

KPWKM Teliti Alasan Penghakiman Kes Amang Seksual Pusat Jagaan Batu Caves - Nancy

11/04/2026 07:17 PM

KUCHING, 11 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keputusan mahkamah serta alasan penghakiman berhubung kes amang seksual membabitkan kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Batu Caves, Selangor sebelum menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata penelitian terhadap alasan penghakiman itu penting bagi memahami rasional di sebalik hukuman yang diputuskan oleh mahkamah sebelum sebarang pandangan atau tindakan lanjut diambil.

“Saya tidak boleh memberi pandangan seperti orang biasa… saya  memiliki latar belakang dalam bidang perundangan, jadi saya kena membaca juga untuk memahami. Tidak adil kalau saya memberi kritikan terhadap sesuatu keputusan tanpa mengetahui (mahkamah) alasan.

“Kami (KPWKM) boleh menyuarakan kepada pihak Peguam Negara kerana memang kami mendapati penderaan seksual pusat jagaan kanak-kanak ini amatlah serius sekali, tidak boleh kita pandang ringan…  kalau kami rasa perlu campur tangan nanti, perbincangan kami itulah antara pegawai kerajaan bukan (berdasarkan) cerita di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Outreach WCaRE: Pemerkasaan Komuniti Etnik di Kampung Pasir Panjang di sini hari ini.

Nancy berkata keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah berada di luar bidang kuasa kementeriannya dan perlu dihormati selaras dengan proses perundangan.

Beliau berkata ibu bapa atau penjaga mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah juga boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada untuk mengemukakan rayuan.

Pada Khamis, seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak di Batu Caves, Retna Velu, 25, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas 15 pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 13 tahun. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat jagaan berkenaan antara November 2025 hingga Mac tahun ini, dan mahkamah menetapkan 21 Mei untuk fakta kes serta hukuman.

Dalam prosiding sama, pemilik rumah kebajikan itu, S. Valan, 31, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan amang seksual fizikal terhadap empat remaja lelaki berusia 13 hingga 16 tahun yang didakwa berlaku antara 2019 hingga Mac tahun ini. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 10 Jun bagi sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543771