KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau melihat sendiri dua rakan sekerjanya maut selepas masing-masing ditetak di muka dan ditembak di kepala dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang berlaku pada 17 Mei 2024.
Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, yang ketika kejadian bertugas di balai tersebut berkata Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, maut ditetak di bahagian wajah, iaitu dari telinga hingga ke mulut manakala Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, ditembak di kepala oleh penyerang balai yang dikenali sebagai Radin Luqman Radin Imran, 21.
Menceritakan semula kejadian itu pada hari pertama perbicaraan, Mohd Khairul Azhar berkata beliau dan rakan sekerjanya Koperal Mohd Hasif Roslan sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Ulu Tiram sebelum menerima arahan daripada Ketua Balai Inspektor Mohd Hisham Ezahar melalui aplikasi WhatsApp pada 2.30 pagi untuk segera kembali ke balai susulan satu serangan.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam semasa perbicaraan kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor.
Mohd Khairul Azhar berkata mereka bergegas ke lokasi dengan menaiki sebuah Toyota Hilux dan setibanya di balai, mendapati keadaan persekitaran malap serta sunyi.
"Setibanya di hadapan balai dan turun dari kenderaan, saya terdengar Lans Koperal Aznel (Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh) menjerit meminta kami berundur dari hadapan balai dan memaklumkan bahawa Ahmad Azza Fahmi telah ditetak.
"Saya kemudian melihat Ahmad Azza Fahmi terbaring di antara kawasan berek dan bangunan balai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan pada wajah dari telinga hingga ke mulut," katanya.
Mohd Khairul Azhar berkata beliau bersama Mohd Aznel dan Muhamad Syafiq kemudian bergerak ke hadapan balai berhampiran mesin layan diri untuk berlindung sebelum dimaklumkan oleh Mohd Aznel bahawa seorang lelaki (penyerang) telah keluar dari arah berek dan melepaskan tembakan ke arah mereka dalam keadaan cahaya yang malap.
Saksi itu berkata beliau dan Muhamad Syafiq kemudian diarahkan oleh Mohd Aznel untuk ke bahagian belakang balai bagi meninjau keadaan serta mengesan kedudukan penyerang itu, namun lelaki sama sekali lagi melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Kami kemudian berlari semula dan berkumpul di belakang pejabat ketua balai sebelum Mohd Aznel keluar mendapatkan bantuan, manakala saya, Mohd Hasif dan Muhamad Syafiq bergerak ke hadapan balai berhampiran kereta perisai untuk berlindung.
"Kami cuba melihat di bahagian belakang balai dan mendapati lelaki sama telah melepaskan tembakan ke arah kami yang berlindung di kereta perisai. Mohd Hasif kemudian keluar berjalan ke arah pintu pagar balai untuk tarik perhatian lelaki penyerang itu, beliau kemudian terkena tembakan di bahu kiri dan punggung kirinya," katanya.
Mohd Khairul Azhar berkata ketika berada di hadapan kereta perisai, Muhamad Syafiq pula terkena tembakan di kepala, manakala penyerang itu cuba merampas senjata, iaitu submesingan jenis Heckler & Koch MP5 milik mangsa yang boleh digunakan untuk menembak secara bertalu-talu.
“Saya kemudian telah melepaskan tembakan selepas melihat lelaki itu cuba melepaskan tali senjata dari badan Muhamad Syafiq. Tembakan itu mengenai penyerang di bahagian badan namun saya lihat dia masih bergerak.
"Saya cuba tembak untuk kali kedua tetapi pistol saya mengalami sangkut. Selepas membetulkan pistol, saya lepaskan satu lagi tembakan dan ia mengenai badan penyerang. Saya kemudian melihat lelaki tersebut terbaring bersama Muhamad Syafiq di hadapan tayar sebelah kiri kereta perisai," katanya yang menambah semasa kejadian lelaki itu berpakaian warna gelap, memakai topeng dan membawa satu beg galas.
Selanjutnya, saksi berkata bantuan tiba kira-kira 3.30 pagi dan pada 7 pagi beliau dipanggil untuk mengecam mangsa, iaitu Allahyarham Ahmad Azza dan Allahyarham Muhamad Syafiq serta penyerang tersebut, selain memaklumkan Mohd Hasif yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Identiti suspek kemudiannya dikenal pasti sebagai Radin Luqman yang membawa kepada penangkapan lima ahli keluarganya.
Saksi tersebut berkata selepas insiden itu, beliau sebagai anggota polis lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling selain trauma dan sedih kerana rakan sekerjanya hilang selama-lamanya.
Pada hari ini, ketika pertuduhan dibacakan semula terhadap kelima-lima tertuduh yang diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri, mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Ibu Radin Luqman, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024 manakala bapanya Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas
Sementara itu, abang Radin Luqman, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, manakala dua anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA