KUALA KRAI, 8 April (Bernama) -- Seorang penjual kereta lelong didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki dalam urusan jual beli kenderaan, Ogos tahun lepas.
Majistret Amal Razim Alias turut memerintahkan Muhamad Azhar Muhamad Riski, 47, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, Muhamad Azhar didakwa menipu Mohd Tabliq Abdullah, 37, dengan memperdayakannya dalam urusan jualan sebuah kereta Honda Civic sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM37,000 secara keseluruhan.
Pembayaran itu dilakukan isteri mangsa melalui beberapa transaksi ke akaun bank milik syarikat tertuduh sebagai bayaran pembelian kereta berkenaan.
Muhamad Azhar didakwa mengetahui urus niaga tersebut adalah palsu dan tidak berniat untuk menyerahkan kenderaan tersebut kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Budi di sini, antara 11 hingga 18 Ogos tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Farazalila Fauzi.
Terdahulu, Farazalila memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang bekerja sendiri perlu menanggung isteri, tiga anak masih belajar serta bapa yang uzur berusia 75 tahun.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
-- BERNAMA