KOTA BHARU, 8 April (Bernama) -- Kenaikan harga diesel mula memberi tekanan kepada industri pelancongan di Kelantan apabila pengusaha terpaksa menyesuaikan operasi bagi menampung kos yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Nor berkata penggunaan diesel merupakan antara komponen penting dalam operasi industri pelancongan.
“Ia melibatkan pelbagai sektor termasuk pengangkutan seperti bas pelancong serta penggunaan generator di premis penginapan seperti resort.
“Pengusaha pelancongan seperti bas, lori dan juga resort yang menggunakan generator memerlukan diesel, jadi ini memberi kesan kepada kos operasi mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata dalam situasi semasa, pengusaha perlu lebih bijak mengurus perbelanjaan serta menyesuaikan strategi operasi bagi mengawal kos, sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan.
Pada masa sama, Kamaruddin tidak menolak kemungkinan terdapat pengusaha yang mempertimbangkan pelarasan harga sekiranya kenaikan kos berterusan, namun menasihatkan agar langkah dilaksanakan tidak menjejaskan permintaan pelanggan.
“Pengusaha kecil dilihat lebih terkesan kerana kekurangan simpanan untuk menyerap peningkatan kos berbanding pengusaha besar yang mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memainkan peranan dalam menyokong industri pelancongan termasuk meneliti bentuk bantuan boleh disalurkan melalui agensi berkaitan meskipun isu harga bahan api berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
Pada Rabu lepas, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung naik 50 sen kepada RM6.02 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
-- BERNAMA