AM

Usahawan India P. Pinang Digesa Rebut Peluang Pembiayaan SPUMI Sehingga RM100,000

05/04/2026 11:30 PM

GEORGE TOWN, 5 April (Bernama) -- Golongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan masyarakat India di Pulau Pinang digesa memanfaatkan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata inisiatif melalui Tekun Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menyediakan bantuan modal yang sangat diperlukan usahawan kecil yang berhadapan kekangan kewangan.

“Ramai dalam kalangan masyarakat kita menjalankan perniagaan kecil-kecilan, malah ada yang sekadar membuka gerai teh, namun mereka tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan modal.

“Sebagai wakil kaum India dalam kerajaan negeri, saya bertanggungjawab memastikan maklumat ini sampai supaya mereka tahu kerajaan yang prihatin sentiasa ada untuk membantu meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat skim pembiayaan itu di sini hari ini.

Beliau berkata sesi itu diadakan secara berfasa bagi memberi pencerahan kepada komuniti tersebut mengenai prosedur permohonan pinjaman dan geran kerajaan yang tersedia.

Skim pembiayaan itu menawarkan dua kategori utama iaitu pinjaman antara RM1,000 hingga RM50,000 bagi kategori pertama manakala kategori kedua antara RM50,000 hingga RM100,000.

Beliau berkata sesi itu dilaksanakan di bawah inisiatif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong bagi memastikan capaian maklumat mengenai bantuan kerajaan dibuat secara menyeluruh di setiap daerah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan India mengenai kewujudan bantuan pembiayaan itu.

“Selepas sesi di bahagian pulau hari ini, kami merancang untuk mengadakan sesi serupa di Seberang Perai dalam tempoh sebulan dua lagi bagi memastikan semua usahawan mendapat akses kepada informasi pembiayaan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2541175