JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja Maut Di Tapak Pembinaan: JKKP P.Pinang Keluar Notis Larangan, Surat Arahan

30/03/2026 09:12 PM

BUKIT MERTAJAM, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Larangan dan Surat Arahan kepada pihak terlibat susulan kemalangan di tapak pembinaan di Taman Perindustrian Bukit Minyak, di sini baru-baru ini yang meragut nyawa seorang pekerja asing.

Pengarah JKKP negeri Hairozie Asri berkata tindakan itu diambil hari ini selepas siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila beban papan lapis yang diangkat menggunakan kren bergerak telah terlepas daripada ikatan sebelum jatuh menghempap mangsa.

Beliau berkata ia menyebabkan pekerja asing tersebut terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter dan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya 24 Mac lepas akibat komplikasi kecederaan parah.

“Kemalangan berlaku di tapak pembinaan itu pada 19 Mac lepas dan mangsa yang bekerja dengan subkontraktor di tapak pembinaan tersebut terlibat dalam kerja pemasangan bumbung di aras roof slab ketika kejadian berlaku sekitar 10.40 pagi.

“Insiden itu jelas menunjukkan kegagalan serius dalam pengurusan keselamatan di tempat kerja," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hairozie berkata pihak terlibat juga diarahkan untuk menghentikan kerja serta-merta sehingga semua keperluan keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539124