KOTA SAMARAHAN, 4 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM300 juta untuk menaik taraf sistem bekalan air bersih di seluruh kawasan Samarahan supaya bekalan lebih stabil dan mampu menampung keperluan pada masa depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata beberapa pendekatan dipertimbangkan bagi pelaksanaan projek itu termasuk penggantian paip lama dan penstrukturan semula sistem saluran air.
“Selain itu, cadangan pembinaan tangki air berkapasiti tinggi turut dikemukakan bagi menampung keperluan penduduk dan sektor industri di kawasan berkenaan.
“Perkara ini juga telah dibawa ke perhatian Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kota Samarahan di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata projek naik taraf itu dijangka bermula hujung April dan akan mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan.
Katanya setelah siap kelak, sistem bekalan air di seluruh kawasan itu termasuk Kampung Baru yang dilaporkan terjejas sebelum ini dijangka menjadi lebih stabil dan mampu menampung keperluan semasa serta masa depan.
Rubiah berkata dengan projek naik taraf tersebut, sistem bekalan air juga akan disusun semula agar lebih efisien, termasuk memperkenalkan tiga sumber utama saluran paip bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
-- BERNAMA