Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup sedikit rendah pada Jumaat berikutan sentimen berhati-hati yang berterusan, dengan pelabur mengekalkan kedudukan di luar pasaran ekoran konflik berpanjangan di Asia Barat, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.80 mata atau 0.16 peratus kepada 1,695.50 berbanding paras 1,698.30 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 5.82 mata lebih tinggi pada 1,704.12 dan bergerak antara 1,693.65 hingga 1,708.12 sepanjang dagangan hari ini.
Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal positif dengan 634 kaunter untung mengatasi 415 kaunter rugi, manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,077 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM2.95 bilion berbanding 3.20 bilion unit bernilai RM3.50 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan kekal berhati-hati berikutan turun naik yang semakin meningkat serta ketidaktentuan akibat konflik Asia Barat yang masih belum selesai.
“Secara keseluruhan, aktiviti dagangan kekal sederhana berikutan penutupan susulan cuti di beberapa pasaran utama seperti Hong Kong, Australia dan Singapura,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan FBM KLCI didahului saham perbankan, yang terjejas oleh tekanan pasaran berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data Senarai Gaji Bukan Ladang Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata pelabur menjangkakan data yang lebih lemah, mencerminkan ekonomi AS yang semakin perlahan.
“Meskipun ini bukan menandakan akan berlaku penurunan kadar faedah dalam masa terdekat, ia mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengambil pendekatan kurang agresif serta kitaran kenaikan kadar faedah mungkin menghampiri kemuncaknya, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran apabila pelabur menilai semula prospek,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 20 sen kepada RM11.26, Public Bank susut lima sen kepada RM4.66, CIMB merosot 10 sen kepada RM7.49, manakala Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM14.04 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.96.
Senarai kaunter paling aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada satu sen, Top Glove meningkat lima sen kepada 81 sen, V.S. Industry turun setengah sen kepada 18 sen, Supermax Corporation menambah 4.5 sen kepada 35 sen, dan Zetrix AI naik satu sen kepada 76 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak RM1.34 kepada RM100.20, Kuala Lumpur Kepong meningkat RM1.00 kepada RM22.88, YTL Power naik 31 sen kepada RM3.51, Petronas Gas menambah 24 sen kepada RM18.28, dan Malaysian Pacific Industries meningkat 22 sen kepada RM29.30.
Bagi kaunter paling rugi, Fraser & Neave susut 80 sen kepada RM28.50, Hong Leong Bank turun 28 sen kepada RM21.72, RHB Bank merosot 22 sen kepada RM8.32, manakala AmBank dan Allianz masing-masing susut 20 sen kepada RM6.30 dan RM20.48.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 5.89 mata kepada 12,251.12, Indeks FBM Emas naik 3.54 mata kepada 12,392.16, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 72.64 mata kepada 12,269.56, Indeks FBM ACE Index menambah 39.78 mata kepada 4,309.92, dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 54.05 mata kepada 17,140.94.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 288.53 mata kepada 19,849.72, manakala Indeks Perladangan meningkat 65.16 mata kepada 9,155.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.35 mata kepada 184.75, dan Indeks Tenaga meningkat 11.89 mata kepada 818.52.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.37 bilion unit bernilai RM2.78 bilion berbanding 2.20 bilion unit bernilai RM3.32 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menurun kepada 749.15 juta unit bernilai RM74.13 juta berbanding 786.65 juta unit bernilai RM107.48 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 266.53 juta unit bernilai RM89.92 juta berbanding 212.94 juta unit bernilai RM77.68 juta semalam.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 202.70 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (655.74 juta), pembinaan (164.17 juta), teknologi (273.13 juta), perkhidmatan kewangan (60.75 juta), hartanah (176.65 juta), perladangan (75.33 juta), amanah pelaburan hartanah (18.16 juta), dana tertutup (14,200), tenaga (250.19 juta), penjagaan kesihatan (345.04 juta), telekomunikasi dan media (20.20 juta), pengangkutan dan logistik (30.07 juta), utiliti (93.80 juta), serta amanah perniagaan (134,100).
-- BERNAMA