EKONOMI

Unit PTT Synergy Meterai Perjanjian ASRS, Raih Kontrak RM31.68 Juta Daripada Sime Darby Property

03/04/2026 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Anak syarikat 70 peratus milik tidak langsung PTT Synergy Group Bhd, PTT Robotics Sdn Bhd (PTTR) memeterai perjanjian sistem automasi gudang dengan Sime Darby Property Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya perjanjian itu termasuk mereka bentuk, membekal, membina dan memasang Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) dalam kawasan gudang yang ditetapkan.

Melalui perjanjian itu, PTTR akan menyewakan sistem ASRS kepada Mydin dengan kadar sewaan bulanan RM900,000, tertakluk kepada kenaikan sewaan setiap tiga tahun, bagi tempoh pajakan selama 15 tahun.

PTTR juga akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan, sokongan dan penyelenggaraan sistem itu selaras dengan terma perjanjian.

Menurut kumpulan itu, pengaturan berkenaan menyokong strateginya untuk berkembang dalam bidang gudang pintar dan infrastruktur logistik selain membolehkan penjanaan pendapatan berulang melalui penyewaan sistem automasi.

“Melalui pelaksanaan projek ASRS, kumpulan beralih kepada model perniagaan berasaskan aset dengan kebolehlihatan pendapatan yang baik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan pembinaan sekali sahaja,” katanya.

PTT Synergy menjangka projek ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya pada masa depan sepanjang tempoh pajakan itu, disokong oleh pendapatan sewa yang stabil dan permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian logistik automatik.

Sementara itu, menurut kumpulan berkenaan dalam makluman berasingan, anak syarikat milik penuhnya Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd menerima surat lantikan daripada Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd bagi cadangan membina dan menyiapkan kerja-kerja tanah serta kerja berkaitan untuk Kawasan Kediaman Fasa 5A (R17), Bandar Bukit Raja Peringkat 3 di Klang, Selangor bernilai RM31.68 juta.

Menurutnya kontrak itu adalah urusan perniagaan biasa syarikat yang dilaksanakan secara bebas dan berdasarkan terma komersial biasa, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa depan sepanjang tempoh kontrak.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540812