AM

Kerajaan Tanggung SKDS Cecah RM2.2 Bilion Mac Lepas - Armizan

05/04/2026 07:47 PM

KOTA BHARU, 5 April (Bernama) -- Subsidi diesel yang ditanggung kerajaan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meningkat  kepada RM2.2 bilion pada Mac lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata impilkasi lonjakan tinggi perbelanjaan peruntukan itu susulan kenaikan harga diesel di pasaran global.

"Sebagai contoh, pada 26 Feb lepas, harga diesel dunia ialah USD93 setong berbanding USD239 setong pada 31 Mac dengan lonjakan harga mencecah 158 peratus.

"Mengikut unjuran berdasarkan trend kenaikan harga diesel semasa, jumlah keperluan peruntukan subsidi diesel bagi pelaksanaan SKDS berjumlah RM2.2 bilion sebulan berbanding RM3.45 bilion setahun yang dibelanjakan pada 2025," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi  taklimat penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata kerajaan komited untuk meneruskan program penyaluran subsidi diesel secara bersasar walaupun berlaku lonjakan harga diesel akibat krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.

"Di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi meliputi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.

"Kenderaan yang didaftarkan boleh memanfaatkan subsidi diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat barangan," katanya.

Mengulas mengenai tuntutan pengusaha stesen minyak yang terpaksa menanggung pembelian bekalan bahan bakar itu, Armizan berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF).

"Antara pendekatan yang boleh kita fikirkan setakat ini, kita akan bincang dengan MOF bagaimana kita mahu mempercepat bayaran balik tersebut, proses itu dapat kita percepat supaya mereka (pengusaha stesen minyak) dapat pada kadar segera.

"Kita juga berharap mereka mengambil langkah pelan kontingensi masing-masing untuk kita sama-sama meneruskan kelangsungan dalam krisis tenaga global," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2541180