AM

Loke Ziarah Keluarga Mangsa Penunggang Motosikal Maut Di Klang

01/04/2026 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini menziarahi balu penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, Selangor, Ahad lepas.

Beliau berkata lawatan itu dilakukan bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli bagi menzahirkan simpati terhadap keluarga Amirul Hafiz Omar, 33, yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Loke berkata beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan secara peribadi kepada Nor Nadia Abdul Majid, 32, bagi meringankan beban keluarga mangsa.

"Namun, tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, lebih-lebih lagi buat seorang isteri yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi.

"Saya amat memahami kesedihan yang dirasai, dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti kami bersama keluarga arwah dalam menghadapi saat yang sukar ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Nor Nadia diberikan kekuatan dan ketabahan.

Terdahulu, seorang pembantu makmal R. Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz dalam insiden pada 11.47 pagi 29 Mac lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Saktygaanapathy, turut berdepan satu lagi pertuduhan, mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badan, dan mahkamah menetapkan 3 Jun ini bagi sebutan semula kes serta penyediaan laporan patologi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540003