AM

MCMC Nexus Bantu Pengguna Uji Kelajuan Internet, Pantau Kualiti Rangkaian

31/03/2026 04:28 PM

CYBERJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Aplikasi MCMC Nexus yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu pengguna menguji kelajuan Internet serta menilai prestasi rangkaian di kawasan masing-masing secara masa nyata, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata aplikasi itu membuka ruang kepada masyarakat menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi mereka dan pihak MCMC serta penyedia rangkaian mendapat status prestasi liputan secara automatik.

Teo berkata data yang dikumpul itu akan dimanfaatkan bagi menambah baik kualiti dan liputan rangkaian pada masa akan datang.

“Lebih penting, aplikasi ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyumbang data berkaitan kualiti rangkaian di kawasan masing-masing.

“MCMC Nexus bukan sekadar aplikasi, sebaliknya menjadi pemacu penting masa depan digital Malaysia termasuk menyokong pembangunan bandar pintar dan penyampaian Internet berkualiti tinggi,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu di Menara MCMC di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta ahli-ahli suruhanjaya itu.

Teo berkata walaupun aplikasi tersebut diperkenalkan secara berperingkat, MCMC Nexus menerima sambutan menggalakkan dengan 51,415 muat turun direkodkan sejak Februari 2025.

Beliau berkata hasil penglibatan aktif pengguna, sebanyak 168 juta titik data kualiti rangkaian berjaya dikumpul di seluruh negara dan maklumat berkenaan membantu mengenal pasti kawasan liputan lemah serta isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat.

Teo berkata keberkesanan sistem itu turut dibuktikan melalui pengoperasian Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC Nexus yang memantau kestabilan rangkaian semasa acara besar sepanjang 2025.

“Ia termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025), Sidang Kemuncak ASEAN serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pada masa sama, platform ini memperkasakan perniagaan, memperluas akses pendidikan digital dan memupuk inovasi merentas sektor,” katanya.

Dalam aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna pula, katanya ia kekal menjadi keutamaan dalam pembangunan aplikasi berkenaan.

Beliau berkata aplikasi MCMC Nexus telah menjalani pengujian bebas dan ditauliahkan pensijilan rasmi semalam (30 Mac) oleh makmal yang diakreditasi di bawah piawaian ISO/IEC 17025.

Teo berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi turut mengesahkan aplikasi itu tidak mengumpul sebarang Maklumat Pengenalan Peribadi dan hanya merekodkan penunjuk prestasi rangkaian yang dianonimkan sepenuhnya selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Aplikasi MCMC Nexus boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Sementara itu, Teo berkata setakat 31 Jan lepas, sebanyak 9.82 juta premis di seluruh negara kini mempunyai akses jalur lebar gentian optik, melepasi sasaran asal 9 juta, manakala kelajuan median jalur lebar mudah alih negara telah mencecah 147.24 Mbps, jauh mengatasi sasaran 100 Mbps.

“Selain itu, liputan Internet di kawasan berpenduduk telah mencapai 99.71 peratus dengan rangkaian 5G juga terus berkembang menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) yang mencatatkan 82.4 peratus liputan, manakala U Mobile telah mencapai 71.9 peratus.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539412