JENAYAH & MAHKAMAH

JBPM Sarawak Teruskan Operasi Padam Kebakaran Belukar Di Dua Kawasan

30/03/2026 09:03 PM

BINTULU, 30 Mac (Bernama) -- Operasi pemadaman kebakaran belukar di Kuala Tatau-Serupai, Tatau, dekat sini memasuki hari kelapan hari ini dengan keadaan kebakaran dilaporkan terkawal.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pemantauan di lokasi oleh anggota dari Balai Bomba Tatau bersama pihak ladang mendapati hanya terdapat kepulan asap kecil manakala sebahagian kawasan telah padam sendiri susulan hujan pada malam tadi.

Kenyataan itu memaklumkan operasi yang bermula kira-kira 11 pagi melibatkan tiga pasukan yang digerakkan ke lokasi berbeza bagi menjalankan kerja pemadaman, ‘mopping up’ serta mengawal kebakaran daripada merebak.

“Operasi berterusan sebelum ditangguhkan pada 5.30 petang dan semua anggota kembali ke balai,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, kebakaran melibatkan kawasan seluas 300 hektar dengan 223 hektar berjaya dipadam manakala kira-kira tiga hektar padam sendiri dengan kawasan yang masih terbakar dianggarkan seluas 74 hektar.

Sebanyak 13 anggota dari Balai Bomba Tatau terlibat dalam operasi yang diketuai oleh ketua balai Pegawai Bomba Kanan Sim Mui Chai dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan sebuah lori serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, operasi pemadaman kebakaran belukar di Kampung Penasu, Daro, Mukah yang memasuki hari keempat masih giat dijalankan.

“Operasi pemadaman masih diteruskan dengan kawasan kebakaran dibahagikan kepada tiga sektor bagi memudahkan kawalan dan pemadaman,” katanya, sambil menambah kebakaran itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 75 hektar, dengan 10 hektar berjaya dipadam setakat ini manakala baki 65 hektar masih terbakar.

Sebanyak 16 anggota bersama dua jentera, iaitu sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Hilux terlibat dalam operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Pegawai Bomba Tinggi II Hasman Bakar.

Operasi turut dibantu 15 pekerja ladang Daro Jaya Estate 2 dan 10 penduduk Kampung Penasu.

Menurut laman sesawang Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, sebanyak 13 kawasan mencatatkan status indeks pencemaran udara yang baik manakala lima lagi kawasan berstatus sederhana.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539121